Erti Sebuah Kehidupan...

Posted by m_herzali m_haled

                                           
Bila mana manusia ditiupkan ruh ke dalam jasadnya lantas menjejakkan kakinya ke muka bumi, maka bermulalah episod baru perjuangan seorang hamba yang juga khalifah kepada Tuan Empunya dunia. Sebagai seorang Muslim atau Mukmin seharusnya kita sedar bahawa hakikat kelahiran setiap daripada kita di atas muka bumi ini merupakan satu ketentuan atau taqdir Allah s.w.t. Maka apabila kita menyedari dan memahami hakikat ini sewajarnya kita merasa layak untuk menikmati kehidupan dan kejayaan di dunia ini.

Adalah mustahil sekiranya kita mengandaikan bahawa kita diciptakan Allah untuk gagal kerana ia bersalahan dengan sifatNya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Secara peribadi saya mengandaikan bahawa kehidupan kita di dunia ini ibarat satu pengembaraan yang menuntut kepada kesabaran untuk mencapai KEJAYAAN yang hakiki. Setiap daripada kita diciptakan bukan dengan kebodohan tetapi dengan kebijaksanaan yang berbeza-beza. Setiap daripada kita dikurniakan kekuatan yang seadil-adilnya dengan berbekalkan "kelengkapan" untuk memastikan setiap kita BERJAYA. Ia sekaligus menggambarkan betapa adil dan sayangnya Allah terhadap sekalian hambaNya. Akan tetapi kita harus berusaha untuk "explore" setiap kekuatan dan kelengkapan yang dimaksudkan. Barangsiapa yang pantas menjumpainya maka dialah yang akan terlebih dahulu merasai KEJAYAAN tersebut! Sebaliknya bagi mereka yang malas berusaha mendapatkannya nescaya lambat atau mungkin tidak akan menemukan KEJAYAAN tersebut.

Setiap "kelengkapan" tersebut merupakan suatu nikmat Allah yang tidak terhitung nilainya. Ia merupakan amanah yang perlu kita pikul dan pelihara sebaiknya. Apakah "kelengkapan" yang dimaksudkan? Iaitulah al-Quran, al-Sunnah, akal, ilmu dan bakat yang dikurnia. Sekiranya kita gagal memilikinya atau gagal mengedalikannya bermakna kita akan KECUNDANG dan tidak akan menemui KEJAYAAN yang dicari. Samala ia umpama kompas yang membantu kita mencari arah tuju perjalanan.

Tetapi kita harus ingat! Dalam setiap pengembaraan pasti tidak akan menemukan satu perjalanan yang mudah. Setiap manusia yang ingin berjaya pasti akan ada musuhnya. Justeru siapa musuh kita? Sudah tentulah hawa nafsu dan syaitan - musuh abadi; dan juga orang-orang yang tidak mahu beriman dan memusuhi Allah s.w.t. Justeru, sebagai seorang pengembara kita harus jelas ke mana untuk dituju dan bagaimana untuk memastikan selamat sampai ke destinasinya.  

  
Adakah mustahil untuk kita menumpaskan musuh-musuh kita? Sudah tentu tidak! Di sinilah pentingnya kita untuk mendapatkan "kelengkapan" yang Allah s.w.t. sediakan dan mengoptimumkan kekuatannya untuk kita mendepani musuh-musuh tersebut. Untuk melaksanakan tugas ini setiap daripada kita memerlukan "tenaga yang cukup" - iaitu keyakinan diri. Keyakinan diri perlu kita bentuk dan pupuk sehingga ia benar-benar cukup bertenaga. Kata hukama; "Jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia".

Secara kesimpulannya, penghidupan kita di dunia ini merupakan satu ketetapan dan punya matlamat yang jelas. Satu pengembaraan yang panjang dan dipenuhi dengan pelbagai ujian untuk menguji kesungguhan dan keikhlasan kita mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Hanya mereka yang punya keyakinan diri yang tinggi berbekalkan "kelengkapan" yang diberi mampu menidakkan sebarang gangguan luaran dan dalaman - seterusnya melangkah penuh bergaya menuju ke puncak KEJAYAAN - seorang yang cemerlang di dunia dan selayaknya menerima ganjaran pahala dan syurga!


2 comments:

  1. Cahaya berkata...

    Benar..
    Kehidupan itu bagai satu pengembaraan..
    Kitalah yang mengepalai dan menentukan setiap titik perjalanan..
    Sebagai hamba Allah yang serba dhaif..adakalanya kita berasa tidak mampu mendepani segala dugaan yang Allah berikan..
    Tapi kita perlu ingat..Allah tidak akan menguji dgn sesuatu ujian yang tidak mampu dtempuhi oleh para hambaNya..
    Semakin banyak ujian yang kita terima..itulah tanda kasih sayangNya..

  2. m_herzali m_haled berkata...

    Terima kasih Misz...

Related Posts with Thumbnails

Ruangan Forum