Haiwan yang HARAM dimakan menurut Islam

Posted by m_herzali m_haled

Sumber daripada Prof. Madya Dr Ishak Suliaman, UM (Hadith dan isu semasa)

Disediakan oleh:


NUR AIN BT AMIN JOHARI
(IEB060100)


PENGENALAN

Tubuh badan manusia memerlukan pelbagai sumber bagi membolehkannya berfungsi dengan baik. Berfungsi dengan baik juga bermaksud dapat menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah s.w.t kepada manusia. Antaranya tanggungjawab kepada Allah, Nabi dan Rasul, Ibubapa, keluarga dan masyarakat seluruhnya. Sebuah hadis Nabi s.a.w ada menjelaskan:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ - رضى الله عنهما - أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ « كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، فَالإِمَامُ رَاعٍ ، وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالرَّجُلُ فِى أَهْلِهِ رَاعٍ ، وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالْمَرْأَةُ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا رَاعِيَةٌ وَهْىَ مَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا ، وَالْخَادِمُ فِى مَالِ سَيِّدِهِ رَاعٍ ، وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ "

Makanan yang baik akan memastikan pertumbuhan tubuh badan yang baik seterusnya memastikan kesihatan yang baik. Aspek pemakanan dan kesihatan amat berkait rapat di mana pemakanan setiap individu akan mempengaruhi kesihatannya.

Setiap tubuh badan terbina berdasarkan komposisi 61% air, 17% protein, 12% lemak, 4.7% garam galian dan kurang 1% karbohidrat . Berdasarkan komposisi ini, daging yang merupakan salah satu sumber protein diperlukan dalam pembinaan tubuh badan manusia. Daging juga menyumbangkan zat besi, tiaman, riboflavin, niasin, vitamin B dan B12, fosforus, zink dan unsur-unsur surih yang lain . Daging juga dikenali sebagai makanan membina tubuh.

Walaubagaimanapun, menurut Islam tidak semua daging boleh dimakan dan dijadikan salah satu hidangan dalam pemakanan kita sehari-harian. Apakah jenis-jenis daging haiwan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan? Mengapakah pula Islam mengharamkan pemakanannya?

Haiwan yang Haram di Makan

Semua makanan di dalam, pada asalanya adalah mubah (harus) dan tidak haram melainkan sekiranya terdapat nas yang sahih dan jelas daripada syari’ay yang mengharamkannya . Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Tidakkah kamu memperhatikan Bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada Kami nikmat-nimatNya Yang zahir dan Yang batin?

Kemudian di dalam hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan larangan Rasulullah s.a.w terhadap memakan haiwan buas yang bertaring dan berkuku pencakar:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: "نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنْ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنْ الطَّيْر

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang (memakan) setiap yang bertaring dari binatang buas dan setiap yang berkuku pencakar dari burung.”

Dengan itu, jumhur ulama’ menetapkan hukum memakan binatang buas yang bertaring dan burung yang berkuku pencakar adalah haram. Apakah yang dimaksudkan dengan binatang buas dan yang berkuku pencakar?

Fiqh Al-Hadith

Takrifan As-Siba’ dan al-Mikhlabin :

Menurut ahli Bahasa, yang dimaksudkan dengan as-siba’ dan al-mikhlabin ialah haiwan-haiwan tersebut merupakan haiwan yang mampu mencederakan hidupan lain

Menurut Yusuf al-Qaradawi pula, as-siba’ ialah semua binatang yang mengganasi binatang lain dan memakannya secara ganas. Al-Mikhlabin (berkuku tajam) pula ialah dari jenis burung yang mempunyai kuku yang boleh melukakan .

Contoh as-Siba’ ialah Singa, harimau, serigala, buaya dan sebagainya. Walaubagaimanapun, imam malik dan as-Syafi’ie menghalalkan buaya kerana bagi mereka ia termasuk di dalam bintang laut. Manakala contoh Al-Mikhlabin pula ialah helang, enggang, raja wali, burung hantu dan sebagainya.

Hikmah Pengharaman.

Mengapakah Islam melarang beberapa jenis haiwan ini daripada dimakan. Sesungguhnya Islam tidak akan melarang sesuatu yang baik tetapi pastinya mempunyai sebab yang tertentu. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: "Iaitu orang-orang Yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi Yang Ummi, Yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di Dalam Taurat dan Injil Yang ada di sisi mereka. ia menyuruh mereka Dengan perkara-perkara Yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara Yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda Yang baik, dan mengharamkan kepada mereka Segala benda Yang buruk dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu Yang ada pada pada mereka. maka orang-orang Yang beriman kepadaNya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut Nur (cahaya) Yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang Yang berjaya.

Sebab pengharaman memakan haiwan-haiwan tersebut dapat diteliti daripada beberapa aspek:

1) Aspek Sains

Kesan memakan haiwan kornivor akan mempengaruhi sifat-sifat seseorang individu. Menurut Fangary A.S, manusia yang memakan daging binatang buas mewarisi sikap kasar, kurang adab, sanggup membunuh tanpa sebab dan sanggup memakan daging manusia lain. Selain daripada itu, daging binatang yang memakan binatang lain terdapat padanya unit yang membina lemak (trigliserid) yang tidak bolah dihadamkan oleh enzim penghadaman lemak manusia. Maka, lemak tersebut terus diserap dan wujud dalam badan manusia sebagai lemak binatang.

Sebaliknya dengan daging yang memakan tumbuh-tumbuhan akan menghasilkan daging yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Lemak daripada daging haiwan-haiwan tersebut mampu dihadam dan diserap dalam tubuh badan manusia sebagai lemak manusia .

2) Aspek Penyembelihan

Haiwan-haiwan buas dan burung yang berkuku pencakar juga tidak memungkinkan penyembelihan disebabkan sifatnya yang buas dan mampu mencederakan manusia. Islam mewajibkan penyembelihan kerana padanya terdapat beberapa kebaikan antaranya ialah penguraian glikogen kepada glukosa ketika ia disembelih.

Glikogen ialah hasil daripada penyimpanan karbohidrat di dalam tubuh binatang pada bahagian hati dan otot. Glikogen yang terurai dengan serta-merta kepada glukosa ketika disembelih berfungsi sebagai tenaga untuk mengendurkan semula otot-otot yang tegang. Glikogen memainkan peranan dalam menentukan tekstur daging dan kualiti penyimpanan selepas penyembelihan .

Selain itu, penyembelihan akan menyebabkan pengaliran darah keluar seterusnya mengelakkan pertumbuhan mikroorganisma. Penyembelihan dilakukan dengan memotong saluran pernafasan, esophagus, saluran yang membawa darah dari jantung dan saluran yang membawa darah dari tubuh ke jantung. Pemotongan tulang leher perlu dielakkan ketika penyembelihan kerana tulang leher akan membolehkan haiwan menggelepar dengan semaksimum mungkin dan membantu pengaliran darah keluar .

3) Aspek Pemeliharaan Maqasid Syar’iyyah.

Pengharaman sesuatu perkara dalam Islam berkaitan dengan bahaya dan keburukan. Sesungguhnya tiada pengharaman yang ditetapkan tanpa sebab-sebab yang kukuh. Maka, yang jelas manfaatnya dihukum halal dan yang jelas keburukannya dihukum haram di sisi syari’at Islam. sebagai contoh pengharaman arak yang diterangkan dalam surah al-Baqarah ayat 219:

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…..

Pengharaman menurut syari’at Islam berkait rapat dengan menjaga kepentingan dan kemaslahatan individu dan masyarakat. Antaranya adalah bagi memelihara agama, jiwa/nyawa, akal, keturunan dan harta .

1) Memelihara Agama

Islam menekankan aspek pemeliharaan agama sebagai aspek terpenting kerana setiap ibadat seorang hamba adalah kepada tuannya iaitu ALLAH s.w.t. syari’at Islam yang diturunkan ALLAH adalah bagi membentuk keamana sejagat dan membina kepatuhan seorang hamba kepada ALLAH. Kepentingan menjaga agama merupakan aspek utama dan sebab itu juga Islam mensyari’atkan jihad.

Dalam konteks memakan haiwan buas yang bertaring dan burung yang berkuku pencakar pula, Islam mengharamkannya bagi mengelakkan pewarisan sifat haiwan tersebut. Sekiranya manusia mewarisi sifat-sifat haiwan tersebut maka, fungsi agama terjejas.

Sekiranya manusia mewarisi sifat ini maka, keamanan akan terganggu seterusnya manusia akan hidup dalam keadaan yang tertekan dan sentiasa dalam keadaan bahaya. Apabila kehidupan yang sebegini dilalui, manusia tidak akan bersatu dan sentiasa mementingkan diri sendiri sedangkan aspek utama dalam memelihara agama adalah kesatuan. Akibatnya, tiada siapa yang akan memelihara kepentingan agama sedangkan agama merupakan tunjang dan sebab kepada kehidupan.

2) Memelihara jiwa/nyawa.

Memelihara jiwa atau nyawa bermakna menjaga hak kehidupan. Telah disyari’atkan kepada setiap individu supaya berusaha mencari tempat perlindungan bagi memlihara kehidupan. Islam melarang umatnya mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Firman ALLAH s.w.t:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakaran.

dan

Maksudnya: Dan belanjakanlah (Apa Yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan…

Melalui ayat-ayat ini dapat kita ketahui bahawa ALLAH memerintahkan hamba-hambanya daripada melakukan sesuatu yang dapat membahayakan nyawa. Bahaya haiwan buas ini terbukti melalui isu-isu semasa di dalam surat-surat khabar. Antaranya:

Utusan Malaysia - Wanita ditemui mati dibaham harimau

JELI 5 Mei - Seorang wanita ditemui mati dibaham harimau ketika keluar menoreh getah bersama suaminya di Felcra Berdang Dua, Kuala Balah. Pada 21 April, seorang penoreh, Mohd. Nor Abdul Rahman, 64, ditemui mati di Kampung Air Naga, Perlak, Tanah Merah, dalam keadaan ngeri tanpa pakaian, putus kaki kanan, calar di badan, robek di muka dan dada dipercayai dibaham harimau.

Oleh yang demikian, mengapa harus kita mencampakkan diri ke dalam bahaya dengan berusaha mendapatkan binatang buas yang bertaring mahupun burung yang berkuku pencakar sedangkan kita mengetahui bahaya yang akan menimpa kita? Binatang buas diciptakan Allah bagi menyeimbangi ekosistem alam dan bukan sebagai makanan manusia.

Selain daripada itu, Islam juga melarang memakan jenis-jenis binatang tersebut bagi mengelakkan peawarisan sifat binatang buas dan bagi memelihara jiwa manusia. Makanan juga akan menentukan pembentukan jiwa atau hati manusia yang akan membimbing naluri manusia. Hal ini adalah kerana makanan akan mempengaruhi bukan sahaja jasmani tetapi rohani setiap individu.. Di dalam hadith Nabi s.a.w menyatakan:

قَالَ سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ".......أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ . أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ "

Maksudnya: “…..sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada seketul daging, sekiranya baik baiklah jasad seluruhnya dan sekiranya buruk, buruklah jasad deluruhnya, itulah hati”

Sekiranya penjagaan hati tidak dilakukan maka bukan sahaja nyawa manusia terancam tetapi juga agama.

3) Pemeliharaan Akal

Apabila makanan mempengaruhi rohani manusia, ia juga akan turut mempengaruhi akal dan pemikiran manusia. Dalam konteks ini, akal manusia tidak lagi dapat berfikir secara waras tetapi lebih kepada kawalan nafsu. Manusia tidak lagi melakukan pertimbangan terhadap baik dan buruk sesuatu perkara tetapi lebih kepada kepuasan sendiri. Pemikiran yang sebegini tentu sekali akan membelakangi ketentuan syari’at Islam sedangkan syari’at Islam yang ditentukan oleh Allah mempunyai kesan yang baik terhadap kehidupan manusia.

Kepatuhan kepada syari’at Islam akan menjamin keamanan dan kebahagian dunia dan akhirat dan pengabaian terhadapnya kan membawa kepada malapetakan dan bencana. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan sesuatu yang akan membawa kemudharatan kepada kehidupan manusia.

4) Pemeliharaan Keturunan.

Seterusnya, Islam amat menitikberatkan aspek keturunan. Hal ini adalah kerana susur jalur keturunan akan memepengaruhi individu. Keturunan yang baik akan melahirkan individu yang baik manakala individu yang sebaliknya akan melahirkan individu yang tidak baik. Aspek keturunan ini dapat kita lihat daripada susur jalur keluarga Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah dilahirkan di dalam keluarga yang dihormati dan taat kepada Allah s.w.t.

Bagi individu yang mengamalkan pemakanan daging haiwan karnivor, maka akan lahir daripadanya keturunan yang kurang berperikemanusian. Keturunan yang baik amat penting dalam menegakkan syi’ar Islam dan menjaga keamanan hidup.keturunan yang baik juga dapat melahirkan pemimpin yang berkuliti dan mempunyai kemahiran kepimpinan yang tinggi. Pemimpin yang dihormati adalah pemimpin yang mampu memelihara keamanan manusia dan membawa kepada perkembangan Islam.

5) Pemeliharaan Harta

Harta merupakan antara keperluan manusia dalam meneruskan kehidupan dan menjamin kehidupan masa akan dating. Harta juga diperlukan dalam membolehkan penyebaran agama Islam.

Maksudnya: Dan belanjakanlah (Apa Yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.

Islam menggalakkan umatnya mengumpulkan harta seterusnya membelanjakan ke jalan ALLAH dan mengutuk pembaziran.

عن يحيى بن الجزار ، قال : جاء أبو العبيدين إلى عبد الله وكان رجلا ضرير البصر ، فكان عبد الله يعرف له فقال : يا أبا عبد الرحمن من نسأل إذا لم نسألك ؟……قال : فما التبذير ؟ قال : « إنفاق المال في غير حقه »

Manusia akan melakukan pembaziran sekiranya mengamalkan pemakanan binatang buas yang bertaring dan burung berkuku pencakar. Hal ini adalah kerana haiwan-haiwan tersebut merupakan antara haiwan yang mengalami kepupusan. Justeru bagi mendapatkan sumbernya, harga yang tinggi ditetapkan. Berikut antara isu-isu yang melibatkan kepupusan harimau dan harganya yang tinggi:

Berita Harian - Harimau Sumatera Hadapi Kepupusan

10 Ogos - Harga ditawarkan bagi harimau Sumatera ialah AS$14 (RM44.80) untuk satu cakar kepada kira-kira AS$116 (RM371) bagi setiap kilogram tulang haiwan itu.

Berita Harian - Daging Harimau Goreng Tarikan ke Kahang

23 julai 2006 - Harga bagi sepinggan kecil daging harimau goreng serbuk kari ialah kira-kira RM40 dan ia amat popular kerana dipercayai baik untuk kesihatan serta mampu menguatkan tenaga seksual.

Mengapa kita perlu bersusah-payah dan membazirkan wang ringgit kepada sesuatu yang tidak perlu dan membawa kemudharatan kepada kehidupan sedangkan Islam tidak mengharamkan semua perkara tetapi menghalalkan pula semua yang baik di sisi agama. Antaranya, kelebihan daging haiwan-haiwan yang memakan tumbuh-tumbuhan berbanding haiwan yang memakan haiwan lain menjadi bukti bahawa syari’at Islam diturunkan bagi melengkapi kehidupan manusia, menjaga kemaslahatan dan mencegah kemudharatan. Oleh itu, adalah lebih baik harta yang dimiliki diserahkan ke jalan yang baik iaitu ke jalan Allah seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195.

Kelebihan Haiwan yang dihalalkan Islam

Antara haiwan yang dihalalkan dalam Islam ialah kambing, lembu, ayam, itik dan burung merpati. Haiwan-haiwan ini dapat disembelih dengan baik dan dagingnya dapat dihadam oleh tubuh badan dan diserap menjadi lemak manusia. Selain daripada itu, haiwan-haiwan ini juga mempunyai pelbagai kelebihan yang lain.

Sebagai contoh jika dirujuk kepada kitab-kitab kisah para Anbiya’, ternyata sekali ternakan kambing adalah salah satu sunnah dalam kehidupan para ‘Anbiya seperti Nabi Syuib, Nabi Musa dan Nabi Muhammad.Dalam kitab Qasas al-Anbiya, Ibn Katsir menyatakan anak nabi Adam, Habil merupakan penternak kambing yang pertama di muka dunia.

Dalam sebuah mafhum hadis yang sanadnya disandarkan kepada Said al-Khudri menyatakan bahawa Rasulullah pernah bersabda, “Akan tiba suatu masa dimana kambing merupakan sebaik-baik harta bagi orang Islam. Orang Islam akan memeliharanya di puncak-puncak bukit dan di lembah-lembah, hidup terpencil dari masyarakat demi memelihara agama daripada ditimpa bencana

Kelebihan kambing dapat dilihat daripada 2 aspek iaitu susu dan dagingnya.

1) Khasiat Susu Kambing

Sesetengah bayi mempunyai alahan terhadap susu lembu tetapi sebaliknya bagi susu kambing. Susu kambing juga lebih mudah dicerna. Menurut Mack (1953) kanak-kanak yang diberikan susu kambing mempunyai tubuh, kepadatan tulang, kalsium, tiamin, riboflavin dan niacin yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang diberikan susu lembu .

Antara keistimewaannya yang lain ialah susu kambing mengandungi protein, enzim dan vitamin A yang baik untuk mata serta vitamin D untuk menguatkan tulang. Ia juga mengandungi faktor anti-antritis (inflamasi sendi) dan anti barah. Ia turut diperakui oleh pakar-pakar kesihatan bahawa susu ini boleh mengubati demam kuning, penyakit kulit, gastrik, lelah (asma), insomnia dan ulcer. Susu kambing juga mudah dihadam kerana zarah lemaknya lebih kecil. Khasiat susu kambing yang disimpan sejuk atau sejuk beku pula tidak akan berubah kualitinya .

2) Khasiat Daging Kambing

Sementara daging kambing atau chevon (red gold) yang berzat dikenali sebagai “naturally occuring health meat” memiliki ciri-ciri berikut, iaitu:

• Kalori rendah
• Kadar lemak rendah
• Nisbah lemak tidak tepu/lemak tepu tinggi
• Kandungan kolestrol rendah
• HDL-C tinggi dan LDL-C adalah rendah

Menurut Dr.John R.Addrizzo (MD) dalam artikelnya, “Use of Goat Milk and Goat Meat as Therapeutic Aids in Cardiovascular Diseases” mengatakan bahawa daging kambing mampu menghindari penyakit jantung. Menurut kajian Dr.Peter J.D’Adamo pula daging kambing amat sesuai untuk jenis darah ‘O’, ‘B’, dan ‘AB’ yang dimiliki oleh seramai 75% rakyat Malaysia .

Berdasarkan huraian di atas, kita ketahui bahawa haiwan yang dihalalkan oleh Islam iaitu kambing mempunyai khasiat yang pelbagai dan mempunyai kepentingan dalam kehidupan manusia. Ia bukan sahaja digunakan dalam menjaga kesihatan tetapi juga bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

Kesimpulan.

Maka jelaslah bahawa pengharaman binatang-binatang tersebut melalui Rasulullah S.A.W mempunyai hikmah yang tertentu. Sepertimana yang difirman dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 157 bahawa dia (Rasulullah S.A.W) telah menghalalkan buat mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka yang buruk-buruk. Firman Allah s.w.t lagi:

Maksudnya: “….dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya….”

Hukum yang ditetapkan Allah juga tidak menyusahkan sebaliknya menyenangkan manusia. Firman Allah:

Maksudnya: …. “(dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran….”

Islam merupakan agama yang mementingkan setiap aspek kehidupan merangkumi pemakanan, kesihatan, keselamatan, akhlak dan sebagainya. Oleh sebab itu, syari’at Islam diturunkan oleh Allah s.w.t bagi memlihara kehidupan manusia seluruhnya. Kehidupan yang sempurna hanya akan dimiliki sekiranya setiap manusia mematuhi hukum-hukum yang terdapat dalam syari’at Islam.

Jelas juga bahawa aspek pemakanan dan kesihatan saling berkaitan. pemakanan akan membentuk bukan sahaja jasmani individu tetapi juga mempengaruhi rohaninya. Oleh sebab itu, Islam menyatakan betapa pentingnya penjagaan hati kerana daripada hati niat setiap insan itu dihitung dan daripada hati juga lahirnya amalan.

Daripada Umar r.a:

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ - رضى الله عنه - يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ
" إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ ، وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “….sesungguhnya setiap perbuatan itu dimulakan dengan niat..”.

Setiap insan disyari’atkan bukan sahaja disyari’atkan untuk menjaga diri daripada kebinasaan malah setiap ahli keluarganya. Firman ALLAH s.w.t:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakaran.

Maka pengetahuan mengenai kesihatan dan pemakanan diperlukan dalam memastikan genarasi yang lahir merupakan generasi yang sihat dan teguh di jalan Allah..

Maka, pemilihan pemakanan yang baik perlu bagi mencegah penyakit yang akan memudharatkan kesihatan. Rawatan yang sebaiknya pula perlu bagi merawat penyakit-penyakit yang tertentu. Walaubagaimanapun, mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh yang demikian, peraturan pemakanan secara Islam ini perlu dipatuhi oleh setiap insan bagi mencapai kebahagian dunia dan akhirat.

Sumber Rujukan

1. al-Quran al-Karim.
2. Abd Latif Muda, Rosmawati Ali@Mat Zin (1997). Pengantar Usul Fiqh. Ilham Abati Enterprise.
3. Che Wan Jasimah (2000). Konsep Kesihatan Melalui Pemakanan: Pendekatan Islam dan Sains.
4. Sahih Bukhari (Maktabah Syamilah).
5. Sahih Muslim (Maktabah Syamilah).
6. Muslim ibn al-Hajjaj al-Qushayri (1994). Sahih Muslim : bi-sharh al-Imam Muhyi al-Din al-Nawawi al-musamma al-Minhaj. Dar al-Ma`rifah.
7. Yusuf Qaradawi, D.r (2004). Halal dan Haram dalam Islam. trjmhn: Syed Ahmad Semait. Singapura: Pustaka Islamiyah PTE LTD.
8. http://jiboiagro.blogspot.com/2008/04/khasiat-susu-dan-daging-kambing.html
9. http://triatmojo.wordpress.com/2007/01/15/apa-khasiat-susu-dan-daging-kambing

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Ruangan Forum